Wednesday 25 November 2009

PPKI buka minda, aktiviti bermanfaat

JOHOR BAHRU 24 Nov. - Para pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai di sini gembira kerana berpeluang mengikuti pelbagai program dan aktiviti bagi mengembangkan potensi diri mereka.
Para pelajar berkenaan ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini, rata-rata menyifatkan program berkenaan membuka minda dan menyediakan peluang kepada aktiviti bermanfaat dan menyeronokkan dalam pembelajaran.
Pelajar khas, Nuradawiyah Mazlan, 15, berkata, selain keseronokan belajar, dia berasa teruja kerana dapat menyertai aktiviti kem riadah bagi mengeratkan lagi hubungan antara guru dan kawan-kawan.
"Di sini banyak yang dapat dipelajari bersama kawan dan guru," katanya yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) depan.
Anak bongsu daripada lima beradik itu memberitahu, program itu penting untuk merehatkan minda dalam sesi riadah kerana dia kini sedang membuat persiapan menduduki PMR.
"Saya banyak mengulang kaji dan membaca," kata yang tinggal di Pasir Puteh di sini.
Rakannya, Mohd. Zahrif Harun, 15, berkata, kekurangannya tidak menghalangnya untuk aktif dalam pelbagai aktiviti seperti itu.
Malah, katanya, dia kini dipilih untuk mewakili daerah dalam acara lompat tinggi dan boling sejak memasuki sekolah itu tahun lalu.
"Ini semua berkat dorongan dan latihan daripada guru-guru, rakan-rakan dan keluarga," katanya.
Nurain Nabila Azman Shah, 15, pula berkata, dia turut mewakili boling sekolah di peringkat daerah bagi kategori pelajar perempuan.
Sementara itu, seorang bapa, Karim Ahmad, 55, dan isterinya, Salmat Masri, 53, berkata, anaknya, Nurfaizah Karim, 17, menunjukkan perubahan positif selepas menyertai pelbagai program sekolah itu.
"Dia sekarang sudah boleh menguruskan diri sendiri dan membantu melakukan pelbagai kerja," kata Salmat.
Turut berkongsi pendapat, Nordina Wagiman, 46, yang berkata, anaknya Nurain Azman Shah, 15, kini pandai menyesuaikan diri untuk bersama kawan-kawan dan sudah boleh membaca serta mengaji.
"Banyak pencapaian positif sejak mengikuti program berkenaan dan ia sangat berguna untuk masa depan anak saya," jelasnya.