Saturday 7 August 2010

Terapi minda pelajar OKU

TELUK KEMANG 6 Ogos - Bukan mudah untuk mengendalikan program membabitkan pelajar dalam kelompok Orang Kurang Upaya (OKU), apatah lagi yang melibatkan projek khas seperti terapi, sukaneka dan bermalam di hotel.
Senario ini adalah cabaran guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Panchor, Seremban yang menyertai program rekreasi bersama 27 pelajar OKU untuk diberi pendedahan keyakinan diri, membentuk jati diri, serta bersedia menjadi insan yang berani hadapi cabaran.
Penyelaras program rekreasi itu, Zalena Mahmood, berkata, aktiviti yang dijalankan ini bertujuan memberi kelainan dalam konsep merehatkan minda kepada pelajar OKU melalui pelbagai aktiviti riadah.
''Kita mahu memupuk perasaan kasih sayang antara guru dan pelajar. Pada masa yang sama mengasuh mereka menjadi lebih matang dan mampu berdikari pada masa hadapan," katanya ketika ditemui di Ancasa Allsuite Resort & Spa, Port Dickson, dekat sini, baru-baru ini.
Zalena berkata, kaedah terapi dan melatih pelajar OKU untuk meningkatkan tahap kemahiran sosial adalah satu keperluan yang wajar dilakukan.
''Pelajar dibawa menyertai aktiviti sukaneka, terapi pasir dan air, selain dibawa melawat Muzium Tentera Darat," katanya.
Tambahnya, pelajar OKU yang menyertai program ini juga diberikan keyakinan supaya bergaul dengan masyarakat dan tidak merasa rendah diri atau malu dengan keadaan mereka.
''Kita mahu pelajar ini berani serta sentiasa mewujudkan interaksi persekitaran sosial antara mereka dengan masyarakat luar," ujarnya.
Dalam program yang berlangsung selama dua hari di hotel berkenaan, pelajar didedahkan dengan membina istana pasir melalui pemikiran kreatif dan menjayakan semangat berpasukan, tanpa ada perasaan tertekan antara satu sama lain.
Mereka juga didedahkan dengan rekaan kreatif melalui penggunaan bahan yang dikumpul dekat pantai peranginan Port Dickson ini dan memberi nama istana pasir yang dibina tersebut.
Pelajar OKU yang diawasi 10 guru itu juga diberikan terapi air dengan mengajar asas renang melalui kaedah pernafasan, cara mengapungkan badan sewaktu berada dalam air, selain daya tahan berada dalam air.
''Semua pelajar yang hadir ini mendapat kerjasama yang baik daripada ibu bapa dan mereka menyokong anak-anak OKU ini diberikan latihan luar, khususnya bercorak terapi dan membina minda ini," ujarnya.
Lagipun, kebanyakan pelajar ini telah mengadakan terapi berkenaan di kawasan sekolah dan sudah sampai masanya, mereka diberikan pendedahan yang lebih mencabar ini.
Program ini mendapat kerjasama yang baik daripada Ancasa Allsuite Resort & Spa, Port Dickson.
''Kita berharap pada masa hadapan pelajar OKU sekolah ini diberi peluang untuk hadir dalam banyak aktiviti yang dianjurkan secara bersama dengan pihak swasta, agensi kerajaan yang lain dan sebagainya.
''Pelajar ini memerlukan sokongan semua pihak untuk memulihkan keyakinan diri serta bersedia berhadapan cabaran lebih besar pada masa hadapan," ujarnya.
Dalam pada itu, Zalena berharap sempena bulan Ramadan akan datang dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, pelajar OKU sekolah ini turut diberi peluang bersama-sama menyertai apa juga aktiviti yang boleh menceriakan kehidupan.
''Jika ada yang sudi membantu atau membiayai apa juga program untuk pelajar OKU sekolah ini, bolehlah menghubungi saya di talian, 012-3448230," kata.