Sunday 10 July 2011

Pelajar PPKI SMKOKH masuk akhbar Utusan Malaysia Online!!!


Salah satu pasukan nasyid yang bertanding membuat persembahan pada Majlis Tilawah al-Quran Pendidikan Khas di SK Wan Ibrahim, Pahang, baru-baru ini.



Pelajar pendidikan khas daerah Lipis berjaya menyerlahkan bakat mereka dalam aktiviti keagamaan pada Majlis Tilawah al-Quran Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Wan Ibrahim, Pahang baru-baru ini.
Guru Penolong Kanan Program Pendidikan Khas Integrasi, Mohd. Bi Mohd. Samsuri berkata, Majlis Tilawah al-Quran ini diadakan untuk mencungkil bakat pelajar dan memilih mereka bagi mewakili daerah Lipis ke peringkat negeri.
"Bakat istimewa pelajar dapat dicungkil pada program yang diadakan selain secara tidak langsung memberi semangat kepada mereka untuk terus belajar.
"Program ini juga bertujuan memberi peluang kepada para pelajar sekolah ini untuk menyertai aktiviti kokurikulum seperti yang dilakukan oleh pelajar-pelajar di sekolah lain," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Sementara itu, Penyelia Kanan Agama Islam, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Lipis, Nor Azmuddin Sulaiman berkata, majlis itu perlu diteruskan kerana ia memberi peluang kepada murid untuk mempertingkat potensi diri serta sahsiah bagi memenuhi tuntutan rohani.
"Program sebegini juga dilihat mampu mendedahkan murid kepada aspek-aspek keagamaan selaras dengan nilai-nilai murni yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Khas," katanya.
Beberapa acara telah dipertandingkan pada majlis tersebut termasuklah tilawah, hafazan, azan dan pertandingan nasyid yang melibatkan para pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Orang Kaya Haji, SMK Benta, SMK Sungai Koyan, Sekolah Kebangsaan (SK) Wan Ibrahim, SK Sungai Koyan, SK Benta dan SK Teluk Gunung.

Sumber : Utusan Online (bahagian sekolah)

No comments:

Post a Comment